fb fb fb fb fb

Malaysia mahu Stampa dipenjara - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Malaysia mahu Mahkamah Madrid menjatuhi hukuman penjara ke atas Gonzalo Stampa kerana didakwa menghina mahkamah selain berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikan beliau sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan mahkamah amat penting kerana ia memberikan kekuatan kepada kerajaan Malaysia untuk mematikan semua tuntutan Kumpulan Sulu.

"Keputusan ini juga sebagai satu jaminan untuk kita mematikan sebarang tuntutan (sama) di mana-mana negara yang berkemungkinan timbul selepas ini.

"Saya berharap bukan sahaja didenda malah dia dipenjara disebabkan perangainya yang biadap terhadap Malaysia," katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas menghadiri prosiding perbicaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid, Sepanyol.

Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan anugerah akhir berjumlah US$14.9 bilion iaitu RM62.59 bilion kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Mereka turut dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg serta Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis termasuk kedutaan.

Bagaimanapun Azalina berkata mahkamah menangguhkan keputusan kes itu ke tarikh lain yang belum ditetapkan.

Beliau juga berkata Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia telah menuduh Stampa melakukan jenayah menghina mahkamah yang serius serta melakukan amalan profesional tanpa kelayakan. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI