fb fb fb fb fb

Malaysia mahu bantu masjid tunggal di Rio

FOTO BERNAMA

RIO DE JANEIRO, 8 November- Malaysia mahu membantu komuniti tempatan untuk menggerakkan usaha merancakkan aktiviti masjid tunggal di bandar ini iaitu Masjid Luz.

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi diskusi santai bersama komuniti Islam di Rio De Janeiro.

Diskusi selama 30 minit bersama komuniti Islam itu merupakan permulaan lawatan kerja Perdana Menteri di Brazil.

Pertemuan itu diketuai oleh Presiden Masjid Luz, Mohamed Zeinhom Mohamed El Fateh Mohamed Abdien; Imam Masjid Luz, Sancho Jorge Mulungo @ Adam dan pengurusan masjid berkenaan.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Perdana Menteri berkata Malaysia komited membantu komuniti Islam di Brazil berhubung urusan halal, selain usaha memartabatkan Islam menerusi pendidikan dan dakwah.

Pada sesi sama, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini termasuk menyerahkan senaskah Al-Quran cetakan khas dan 10 naskah kitab suci terbabit dalam terjemahan bahasa Portugis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE