fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan Israel bunuh tujuh pekerja WCK di Gaza

Mangsa pengeboman Israel (atas dari kiri) Lalzawmi Frankcom (Australia), Damian Sobol (Poland), James Kirby (Britain) dan Saifeddin Issam Ayad Abutaha (Palestin). (Bawah dari kiri) James Henderson (Britain), John Chapman (Britain) dan Jacob Flickinger (AS-Kanada)/AFP

PUTRAJAYA, 3 April- Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang membunuh tujuh pekerja bantuan badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza pada Isnin lalu.

Wisma Putra memaklumkan Malaysia turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasi amalnya di Gaza disebabkan insiden tragis berkenaan.

Tegasnya, pengeboman ke atas WCK adalah amat membimbangkan, begitu juga serangan yang disengajakan Israel ke atas bangunan konsulat Iran di Damascus, Syria, baru-baru ini.

"Rejim Israel harus mematuhi Resolusi 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin.

"Rakyat Palestin berhak mendapat sokongan penuh dan bantuan daripada komuniti antarabangsa, dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza," menurut kenyataan hari ini.

Dalam insiden itu, mangsa yang terkorban adalah tiga warga Britain, seorang warga Poland, seorang warga Australia, seorang warga Palestin dan seorang  pemegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.

Malaysia sekali lagi menekankan pendirian terus kekal menyokong perjuangan Palestin bagi mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

ARTIKEL BERKAITAN
Lima pekerja badan amal WCK maut dibom Israel
UK tuntut penjelasan segera Israel bunuh 7 pekerja WCK di Gaza
Australia luah 'kemarahan' rakyatnya jadi mangsa korban serangan udara Israel
Kanada hentikan penghantaran senjata ke Israel

SITI AISHAH MD ISA