KUALA LUMPUR, 17 Disember- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya peluasan penempatan haram dan serangan udara Israel di Syria.
Ia dilihat secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan negara lain.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan perluasan penempatan haram di Bukit Golan dan serangan udara Israel di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Tambahnya, masyarakat antarabangsa diseru menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral bagi memastikan Israel menghentikan semua serangan dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterima pakai pada 3 Disember 2024.
Malaysia menyokong kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria selain sedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas.