MANAMA, 20 Februari – Malaysia terus konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang berdepan kezaliman dan kekejaman, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai negara yang bebas dan berdaulat berhak menyatakan pendirian tegas di mana-mana pentas antarabangsa.
“Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa, tetapi di mana sahaja berlaku kezaliman dan kekejaman, kita harus membela dan memperjuangkannya.
“Saya percaya ada segelintir kecil pihak yang meragui usaha ini, malah ada juga yang menentang. Saya ingin bertanya kepada mereka, apakah mereka tidak belajar tentang kemanusiaan dan keadilan? Adakah mereka dibesarkan untuk membiarkan jiran mereka diterajang dan dibunuh?” katanya pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain, hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan dakwaan kononnya Anwar dinasihatkan oleh pegawai kerajaan supaya tidak terlalu tegas dalam isu Hamas dan Israel bagi mengelakkan tindak balas daripada Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa inisiatif Malaysia dalam membantu pihak yang tertindas bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama digerakkan.
“Dalam isu Palestin, negara itu sudah mengalami kehancuran yang dahsyat. Oleh itu, kita menyeru negara Teluk, dunia Arab dan Islam untuk memberikan bantuan sebaik mungkin.
“Malah, sumbangan yang kita berikan ketika ini masih terlalu kecil. Saya berharap dalam beberapa hari akan datang, rakyat Malaysia dapat bersama memberikan pandangan dan sokongan terhadap usaha membantu Palestin,” katanya.