fb fb fb fb fb

Malaysia komited pacu peralihan tenaga, kelestarian air

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Malaysia komited memacu peralihan tenaga dan kelestarian air dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang semakin meningkat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Baharu Asia (ANES) turut menekankan, keperluan membudayakan amalan lestari dalam pengurusan tenaga dan air.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pembudayaan itu mengambil kira peningkatan populasi dan kesan perubahan iklim global mutakhir ini.

"Keperluan untuk amalan lestari dalam transformasi tenaga dan pengurusan air kini lebih mendesak berbanding sebelumnya. Perubahan iklim, pertumbuhan populasi, dan urbanisasi yang pesat memberikan tekanan yang tidak pernah berlaku kepada sumber semula jadi kita.

"Rantau Asia-Pasifik, yang menempatkan 60 peratus daripada populasi dunia, berhadapan dengan cabaran unik dalam menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar", katanya semasa merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Baharu Asia, di ibu negara.

Dalam pada itu, Malaysia sedang mengadaptasi pendekatan inovatif dalam pengurusan air, termasuk teknologi rawatan air canggih dan pengurusan air pintar.

Inisiatif itu sebagai langkah menangani cabaran yang dihadapi banyak negara di seluruh Asia yang sedang bergelut dengan infrastruktur air yang uzur hingga menyebabkan kehilangan air yang signifikan melalui kebocoran dan ketidakcekapan.

"Konsep 'Bandar Span' di Putrajaya menggunakan infrastruktur hijau untuk menguruskan air hujan dan mengurangkan risiko banjir.

"Pengurusan Air Pintar melalui integrasi IoT, AI dan analitik data besar sedang dilaksanakan di Malaysia. Sistem Meter Air Pintar di beberapa negeri telah meningkatkan kecekapan penggunaan air dan mengurangkan air tidak berwujud. Selain itu, pengumpulan air hujan di peringkat rumah tangga dan komersial dipromosikan untuk mengurangkan tekanan terhadap bekalan air perbandaran", katanya.

ROSLINA BINTI DIN