fb fb fb fb fb

Malaysia komited kurangkan jejak karbon pengangkutan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Malaysia terus memperkukuh usaha mengurangkan jejak karbon dalam sektor pengangkutan komersial dan persendirian, selaras dengan matlamat kemampanan dan agenda peralihan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengangkutan kekal sebagai penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau, menjadikannya sektor kritikal dalam pelan peralihan tenaga negara.

“Pengangkutan bukan sahaja penting untuk kemampanan, tetapi juga penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"Malaysia telah mencatat kemajuan signifikan dalam mempromosikan kenderaan elektrik (EV), membangunkan infrastruktur pengecasan, dan merangka amalan lestari dalam sektor automotif,” katanya semasa merasmikan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024), di sini.

Menurutnya, peruntukan RM4.95 bilion dalam Belanjawan 2025 kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) adalah langkah penting untuk memacu Pelan Peralihan Tenaga Negara dan memperkukuh tenaga boleh diperbaharui.

Visi tersebut turut diperkukuhkan melalui kerjasama serantau menerusi inisiatif Grid Kuasa ASEAN, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan bagi memastikan masa depan tenaga yang mampan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN