Malaysia kekal stabil hadapi konflik Asia Barat melalui langkah proaktif kerajaan

Pegawai Strategik (Perhubungan Awam), Cinta Gaza Malaysia, Muhd Haikal Luqman Zulkefli

KUALA LUMPUR, 28 Mac -Malaysia kekal terkawal dalam menghadapi konflik di Asia Barat hasil langkah proaktif kerajaan serta kerjasama berterusan di peringkat serantau dan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI ambil pendekatan awal untuk menstabilkan rantaian bekalan negara.
  • Membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melintasi Selat Hormuz bagi menjamin bekalan tenaga.
  • Memanfaatkan ruang diplomasi dan politik kepimpinan Malaysia untuk peluang penyelesaian dan mediasi.
  • Perbincangan dengan Indonesia serta kerjasama serantau bagi menangani isu Asia Barat dan melindungi ekonomi.

Pegawai Strategik (Perhubungan Awam), Cinta Gaza Malaysia, Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata, Kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan awal bagi memastikan rantaian bekalan negara terus stabil.

Menurut beliau, antara langkah yang diambil termasuk membolehkan kapal tangki minyak Malaysia melintasi Selat Hormuz bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara.

“Kita perlu memastikan bahawa kita tidak terlalu terkesan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, kita harus menggunakan ruang yang ada sebaik mungkin.

“Sebagai contoh, saya sering menyebut bahawa ruang diplomasi dan politik yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia ketika ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk dimanfaatkan.

“Kita juga telah mengadakan perbincangan antara Malaysia dan Indonesia bagi merangka penyelesaian yang konstruktif. Usaha ini bertujuan untuk memastikan isu di Asia Barat dapat ditangani dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya, kita boleh memainkan peranan sebagai mediator dan orang tengah dalam usaha mendamaikan kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia agar mengamalkan perbelanjaan berhemah, selari dengan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Langkah strategik kerajaan serta kerjasama erat di peringkat serantau dan antarabangsa diyakini mampu memastikan ekonomi negara kekal stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.