fb fb fb fb fb

Malaysia kecam serangan Israel di Rafah

Foto AFP

PUTRAJAYA, 23 April- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel di bandar Rafah, selatan Gaza pada Ahad lalu.

Serangan berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh termasuk 18 kanak-kanak.

Menurut Wisma Putra, situasi itu adalah membimbangkan, mengambil kira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi.

"Sebarang serangan di Rafah akan mengakibatkan kesan yang dahsyat kepada lebih dari 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 kilometer persegi.

"Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat.

"Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya," menurut kenyataan itu.

Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu.

Israel sebelum ini telah diberi amaran oleh negara-negara sekutunya untuk mengelakkan daripada menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan.

Jelas Wisma Putra, serangan itu ternyata membuktikan kedegilan Israel.

Masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel, mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan kenegaraan Palestin dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM