SHANGHAI, 6 November- Kecenderungan syarikat China untuk melabur ke Malaysia jelas dizahirkan menerusi sesi perjumpaan dan meja bulat bersama 31 syarikat berpotensi.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasil perbincangan tersebut menunjukkan mereka berminat untuk terus meluaskan perniagaan ke Malaysia.
Dalam sesi yang berlangsung sejak pukul 9.00 pagi itu, Datuk Seri Anwar berkongsi suasana pelaburan terkini negara.
"Hari ini saya dan wakil menteri tumpu soal pelaburan dan perbincangan samada satu atau berkumpulan membincangkan dasar kita, tentang suasana, peraturan pelaburan serta beberapa masalah berbangkit.
"Saya lihat ada kecenderungan di China yang meningkat. Ini satu perkembangan yang sangat positif," kata Datuk Seri Anwar kepada pemberita selepas menghadiri sesi meja bulat bersama 24 kapten syarikat.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar memulakan hari ketiga lawatan kerja di sini dengan menghadiri Sesi Dialog bersama para pelabur China anjuran Khazanah Nasional Bhd.
Antara pelabur terlibat dalam sesi tersebut termasuk Chengwei Capital dan NRL Capital.