KUALA LUMPUR, 25 Februari- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Republik Islam Iran bermula hari ini hingga Khamis bagi menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Ke-8.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Semasa lawatan tersebut, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan bersama JCM Ke-8 antara Malaysia dan Iran bersama rakan sejawatnya, Seyyed Abbas Araghchi.
"Mesyuarat JCM akan membincangkan secara terperinci kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, perbankan dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan serta industri halal," menurut kenyataan itu.
Dalam rangka lawatan itu, Datuk Seri Mohamad Hasan turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian.
"Perbincangan akan tertumpu kepada hubungan dua hala Malaysia-Iran serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, khususnya situasi di Palestin dan perkembangan di Timur Tengah," kata Wisma Putra.
Pada tahun 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion, meningkat 24.6 peratus berbanding 2023.
Malaysia juga mencatat kedudukan sebagai rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara ASEAN dan ke-19 terbesar di dunia pada tahun 2023.