fb fb fb fb fb

Malaysia-India tandatangan lapan MoU

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Narendra Modi menyaksikan pertukaran lapan MoU di Hyderabad House di New Delhi

NEW DELHI, 20 Ogos- Malaysia dan India menandatangani lapan Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Kesemua MoU itu ditandatangani oleh menteri berkaitan dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Narendra Modi di Hyderabad House di sini.

MoU pertama, mengenai penggajian, majikan dan repatriasi pekerja, ditandatangani dan ditukar antara Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dan Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr. S. Jaishankar.

MoU kedua, mengenai Ayurveda dan sistem perubatan tradisional, telah bertukar antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya, Jaishankar.

MoU mengenai kerjasama dalam sektor teknologi digital telah bertukar antara Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Jaishankar.

MoU mengenai kerjasama dalam bidang budaya, seni dan warisan, telah bertukar antara Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing dan Jaishankar. Tiong dan Jaishankar juga bertukar satu lagi MoU mengenai kerjasama pelancongan.

MoU mengenai pentadbiran awam dan reformasi kerajaan telah bertukar antara Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha (Timur) Kementerian Hal Ehwal Luar India, Jaideep Mazumdar.

MoU kerjasama dalam sektor belia dan sukan telah bertukar antara Mohamad Hasan dan Jaishankar.

Akhir sekali, MoU antara Pihak Berkuasa Pusat Kewangan Antarabangsa (IFSCA) dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) telah bertukar antara Pengerusi LFSA, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzillah dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan Laporan CEO Forum yang kedua hubungan Malaysia-India kepada Menteri Luar India, Dr. S. Jaishankar.

Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan tertutup bersama Dr S.Jaishankar sebelum mengadakan pertemuan empat mata bersama-sama Modi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI