KUALA LUMPUR, 10 Disember- Malaysia dan India memperkasa hubungan ekonomi menerusi penerokaan peluang kerjasama baharu melibatkan syarikat gergasi negara tersebut terutama dalam industri automotif, semikonduktor dan farmaseutikal.
Jelas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong beberapa siri perbincangan dengan pemain industri terlibat telah diadakan termasuk potensi pelaburan dalam pembuatan komponen automotif di Malaysia.
“Saya sendiri telah melawat India dan mengetuai delegasi Malaysia pada bulan Mac. Dalam perbincangan dengan pihak industri dan kerajaan India, saya menekankan hasrat kita untuk menjalin hubungan ekonomi yang lebih mendalam. Dalam ucapan dan pertemuan tersebut, saya menyatakan bahawa Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada pembangunan industri semikonduktor India.
India kini sedang membangunkan industri semikonduktor dengan pesat, manakala Malaysia sudah mempunyai ekosistem yang lengkap, yang boleh menyumbang dari segi teknologi serta tenaga pakar kepada ekosistem India," kata Chin Tong di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu.
Tambah Liew, Malaysia kini sedang dalam proses memeterai Memorandum of Cooperation (MoC) dengan India dalam bidang semikonduktor bagi memperkukuh kerjasama membina rantaian nilai industri yang berdaya tahan.
Selain itu, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras Global) untuk meneroka peluang kerjasama berimpak tinggi yang dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi global.
Susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India tahun lalu, Malaysia turut melaksanakan Misi Pelaburan dan Perdagangan ke India tahun ini sebagai langkah proaktif untuk memastikan kesinambungan hubungan ekonomi dua hala serta meningkatkan keyakinan pelabur India terhadap negara.
Misi tersebut merangkumi sesi mesyuarat meja bulat bersama kapten industri India serta pertemuan dengan Federation of Indian Chambers of Commerce and Industry (FICCI), dengan tumpuan kepada peluang perluasan perdagangan, kerjasama pelaburan baharu, dan usaha memantapkan hubungan ekonomi Malaysia-India.