
PUTRAJAYA, 8 Februari – Malaysia dan India bersetuju menyegerakan penggunaan mata wang ringgit dan rupee dalam perdagangan serta pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.
- Malaysia dan India setuju mempercepat penggunaan ringgit dan rupee dalam perdagangan serta pelaburan dua hala.
- Bank Negara Malaysia dan Bank Pusat India akan bekerjasama rapat untuk melaksanakan penggunaan mata wang tempatan.
- Kedua-dua negara bersetuju menyemak dan mengoptimumkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia dan Bank Pusat India akan terus bekerjasama rapat bagi melaksanakan penggunaan mata wang tempatan itu sekali gus memastikan urus niaga dan pelaburan lebih cekap.
“Jika kita dapat memperluas lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dengan India melepasi nilai AS$18.59 bilion yang dicapai pada 2025, antara keputusan penting ialah penggunaan mata wang tempatan.
Bank Negara Malaysia dan Bank Pusat India telah bekerjasama dalam hal ini bagi penggunaan ringgit dan rupee dalam perdagangan serta pelaburan dua hala,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Malaysia dan India di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan kedua-dua negara bersetuju menyemak serta mengoptimumkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA).
Persetujuan itu dicapai susulan pertumbuhan kukuh perdagangan dua hala antara kedua-dua negara yang mencecah AS$18.59 bilion pada 2025.