fb fb fb fb fb

Malaysia hargai sumbangan bantuan Poland terhadap Gaza

Andrzej Duda dan Datuk Seri Anwar / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Jun - Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan bantuan kemanusiaan yang disampaikan oleh Republik Poland kepada Gaza. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kedua-dua negara mempunyai pendirian sama ke arah memelihara keamanan di wilayah itu.  

"Saya bagi pihak Malaysia, ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan usaha diberikan termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah dilaksana dengan baik." kata Datuk Seri Anwar kepada Presiden Poland Andrzej Duda, dalam sidang media bersama di sini.

"Serta pendirian Poland terhadap penyelesaian dua negara. Malaysia juga berpendirian yang sama untuk memastikan keamanan dan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dan wilayah-wilayah yang diduduki." 

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. 

Presiden Duda dan isterinya tiba di Putrajaya pada Isnin, untuk lawatan rasmi tiga hari bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ