KUALA LUMPUR, 11 Disember - Malaysia berharap segala usaha penyelesaian dapat dilakukan menerusi saluran diplomasi dan pematuhan undang-undang antarabangsa demi keselamatan orang awam serta kestabilan wilayah di Thailand dan Kemboja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perkata itu menerusi pertemuan rasmi yang telah diadakan hari ini dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
"Mereka menghargai usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang tengah walaupun KL Accord telah dirungkaikan. Penambahan anggota ASEAN Observers Team adalah langkah baik, namun kedua-dua pihak mesti menghormati persetujuan bersama.
"Sebagai negara anggota ASEAN kita tidak akan pernah campur dalam urusan ini, kita mahu ASEAN menjadi stabil semula dan menjadi rantau yang aman selaras dengan hasrat Datuk Seri Anwar selaku pengerusi ASEAN tahun ini," katanya pada sidang media pertemuan tersebut di Bangkok, Thailand.
Malaysia kekal komited untuk mengambil langkah tegas, menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu-isu terkait demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara.
Kedua-dua negara turut membincangkan potensi meluaskan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah.
"Kita mempunyai kesamaan dalam ekosistem TVET, tetapi mereka lebih maju dalam TVET pertanian. Institusi TVET pertanian di Malaysia perlu belajar daripada Thailand, termasuk menghantar tenaga pelatih untuk mengikuti Training of Trainers di sana," tambahnya.
Malaysia dan Thailand turut mencapai kesefahaman untuk memperkukuh industri halal, termasuk pembangunan rantaian nilai halal dan kerjasama pelaburan, selaras permintaan global yang semakin meningkat.
"Kita dan Thailand mempunyai program halal yang sama, tetapi jumlahnya masih kurang daripada satu peratus daripada permintaan dunia. Oleh itu, usaha membangunkan kawasan industri halal secara bersama perlu dipertingkatkan," katanya.
Sementara itu dalam aspek kesiapsiagaan bencana, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama rentas sempadan melalui perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi agensi serta latihan bersama menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana berkaitan perubahan iklim.
"Selaras dengan persetujuan pertengahan tahun ini, kedua-dua negara akan meningkatkan perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi antara agensi serta latihan bersama dalam menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana lain yang semakin mencabar akibat perubahan iklim," katanya.