Malaysia gerak pelbagai usaha diplomatik pastikan keamanan berkekalan di rantau ini

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 telah memainkan peranan sebagai pemudahcara yang konstruktif dan seimbang ketika menangani krisis yang berlaku antara Thailand dan Kemboja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 memudahcara penyelesaian damai konflik Thailand-Kemboja melalui diplomasi konstruktif dan seimbang.
  • Usaha kolektif ASEAN termasuk mesyuarat khas Menteri Luar menunjukkan kemampuan serantau menangani krisis secara aman dan bersepadu.
  • Kuala Lumpur kekal neutral dalam isu persempadanan, menekankan penggunaan platform ASEAN untuk penyelesaian diplomatik dan pengesahan pelaksanaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pelbagai usaha diplomatik bersifat intensif digerakkan Malaysia untuk mengekalkan keamanan serantau dan memperkukuhan kesatuan negara anggota.

“Usaha damai antara kedua-dua negara itu merupakan langkah penting ASEAN untuk terus memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran. Tindak balas kolektif ASEAN, termasuk penganjuran mesyuarat khas Menteri Luar ASEAN pada 22 Disember 2025 di Kuala Lumpur membuktikan ASEAN kekal relevan dan mempunyai keupayaan untuk menangani krisis secara aman dan bersama.

“Pada tahun ini, Malaysia akan terus menyokong sepenuhnya usaha-usaha digerakkan bawah kepimpinan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memperbaiki imej ASEAN sebagai kawasan zon damai, bebas dan berkecuali yang tercemar akibat konflik Thailand-Kemboja.

Datuk Lukanisman turut memaklumkan Malaysia menyambut baik hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Ketiga antara Kemboja dan Thailand yang berlangsung Disember lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk meredakan konflik serta memastikan mekanisme pelaksanaan dan pengesahan keberkesanan dipatuhi.

Mengulas mengenai pendirian Malaysia mengenai isu persempadanan antara negara ASEAN, Datuk Lukanisman berkata Kuala Lumpur kekal memainkan peranan neutral dalam perbincangan mengenai isu tersebut.

“Pendirian itu diambil bagi mengelak pertelingkahan dan memastikan platform ASEAN digunakan secara menyeluruh bagi penyelesaian yang lebih diplomatik,” katanya.