fb fb fb fb fb

Malaysia fokus pasaran negara Selatan perkasa pendidikan tinggi - MQA

Malaysia kini memberi tumpuan kepada pasaran baharu pendidikan tinggi di negara-negara Selatan seperti Afrika dan Amerika Selatan / Foto MQA

SEPANG, 26 September – Malaysia kini memberi tumpuan kepada pasaran baharu pendidikan tinggi di negara-negara Selatan seperti Afrika dan Amerika Selatan, dalam usaha memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata sebelum ini tumpuan lebih diberikan kepada pasaran Barat yang kini dilihat semakin padat.

Menurutnya, langkah memperluas fokus ke negara-negara Selatan amat penting kerana potensi pasaran pendidikan tinggi di rantau tersebut masih luas dan mampu membuka peluang besar kepada Malaysia.

2609 NSL MQA NEGARA SELATAN 2 PORTALKetua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran / Foto MQA

“Sudah tiba masanya untuk kita menukar arah daripada hanya menumpukan kepada negara Barat, sebaliknya melihat potensi di negara-negara selatan yang lebih besar.

"Negara-negara seperti Afrika dan Amerika Selatan mempunyai peluang yang amat luas untuk Malaysia menawarkan program pendidikan, sama ada secara konvensional mahupun secara dalam talian,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata Malaysia boleh memanfaatkan pendekatan baharu seperti program micro-credentials dan Open and Distance Learning (ODL) yang sesuai ditawarkan kepada pelajar antarabangsa.

Katanya, peluang tersebut perlu diteroka segera sebelum negara lain mengambil kesempatan menembusi pasaran berkenaan.

“Jika Malaysia berjaya menembusi pasaran ini, agenda Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat.

"Hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir untuk mencapai sekitar 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 juga pasti akan menjadi kenyataan,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN