VIENTIANE, 9 Oktober- Malaysia yakin terdapat potensi besar untuk peningkatan perdagangan intra-ASEAN dengan penambahbaikan perjanjian perdagangan barangan ASEAN; ATIGA, yang dijangka ditandatangani pada 2025.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun rantau ASEAN mengalami pertumbuhan ekonomi yang kukuh namun perdagangan intra ASEAN kekal rendah dalam tempoh beberapa dekad ini.
Justeru negara mencadangkan beberapa langkah bagi memacu pembabitan strategik ASEAN dalam pertumbuhan perdagangan termasuk hubungan pelaburan dan transformasi digital.
Perdana Menteri berkata langkah yang perlu dilakukan negara anggota termasuk mengukuhkan asas ASEAN, memperkukuh rantaian nilai serantau dan kerjasama regulatori.
"Selain itu, mencipta dan menyusun semula serta menyelaraskan ekonomi blok serantau berkenaan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing, selain menetapkan semula dan memastikan rantaian bekalan serantau serta hubungannya dengan ekonomi global.
"Perdagangan yang semakin berkembang, hubungan pelaburan dan transformasi digital adalah penting untuk memacu ASEAN," katanya.
Beliau yakin jika ASEAN meneruskan langkah ini dengan tekad, ASEAN dapat mencapai ketahanan ekonomi dan berada di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030.
Malaysia Katanga komited membina masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk rantau ini sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.