fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jadi hab pendaratan ikan tuna

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pendaratan hasil tuna dan pelancaran produk tuna ‘Shinkai Origin’ di Pelabuhan Pulau Pinang. / Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 16 September - Malaysia berpotensi untuk menjadi hab pendaratan ikan tuna, di rantau ini, namun masih berdepan kekurangan kemudahan dan kepakaran dalam melaksanakan aktiviti hiliran atau perikanan laut dalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dikenal pasti bersedia untuk melatih pekerja berkemahiran dalam industri berkenaan.

Beliau menjelaskan, Majlis TVET Negara turut bersedia menawarkan kursus berkaitan aktiviti hiliran (downstream activity) dan perikanan laut dalam bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

Institusi itu juga mampu menyediakan latihan tenaga kerja dalam bidang perkapalan khususnya untuk menyokong industri perikanan laut dalam.

“Saya yakin akan ada sinergi bersama pemain industri, penyedia perkhidmatan dan juga sektor hiliran dalam bidang ini.

"Saya berharap usaha ini dapat dimulakan di Pulau Pinang terlebih dahulu, sebelum diperluaskan ke kawasan lain memandangkan potensinya cukup besar. Selama ini, produk tuna tempatan banyak dieksport dalam bentuk mentah kepada negara pengguna.

"Dengan adanya aktiviti hiliran, kita mampu menghasilkan produk nilai tambah,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pendaratan ikan tuna dan spesies tuna-like di Pusat Pendaratan Ikan Tuna Chun Ying, Pelabuhan Pulau Pinang, hari ini

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Jabatan Perikanan dapat membantu usaha memperkukuh pengeluaran produk tuna di negara ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd dengan Penang Port Sdn Bhd, selain pelancaran produk “Shinkai Origin Ready To Eat Tuna”.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI