fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jadi hab air serantau

Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) ketika merasmikan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) di MITEC/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Malaysia berpotensi menjadi hab air bagi negara membangun, khususnya di rantau ASEAN.

Ini boleh dicapai menerusi peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia mampu menarik pelaburan asing serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan global di rantau ini.

"Menjelang tahun 2040, kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi hab air bagi negara-negara membangun dan serantau ASEAN. Sejajar dengan cita-cita ini, Malaysia akan menjadi pusat rujukan global dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan bakat.

"Melalui peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan global dalam bidang ini. Secara langsung, ia akan menarik pelaburan asing dan membantu Malaysia mencipta peluang pekerjaan yang lebih berkualiti untuk rakyat", katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pelan HalaTuju Transformasi Air 2040 di ibu negara.

Menurutnya, sumber air tidak terhasil peringkat kebangsaan telah mencatatkan peratusan yang tinggi iaitu sekitar 37.4 peratus tahun lalu menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Potensi air untuk menjana pendapatan adalah sangat besar dengan pulangan ekonomi yang maksimum sekiranya diuruskan secara efisien.

ROSLINA BINTI DIN