MELBOURNE, 4 Mac- Malaysia akan mempertimbangkan untuk melakukan pencarian ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kehilangannya masih kekal misteri.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berbesar hati untuk membuka semula pencarian jika ada bukti baharu yang kukuh mengenai sebarang penemuan pesawat terbabit.
"Sekiranya ada bukti kukuh bahawa pencarian perlu dibuka semula, kami pastinya berbesar hati untuk membukanya (pencarian) semula,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu dalam lawatan rasmi ke Melbourne, hari ini.
Pesawat membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 Mac 2014, kurang sejam selepas berlepas.
Selepas usaha mencari tidak berjaya, Kerajaan Malaysia membatalkan operasi pada 1 Januari 2015.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia teguh dengan azam untuk mencari MH370.
Beliau akan melakukan pertemuan dengan pihak firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity bagi membincangkan operasi pencarian baharu.
"Kami kini sedang menunggu untuk mereka (Ocean Infinity) memberikan tarikh yang sesuai dan saya berharap dapat bertemu mereka dalam masa terdekat.
"(Setakat ini) Malaysia komited untuk mencari pesawat itu... kos bukan isunya," katanya semasa berucap pada Majlis 10 Tahun Memperingati MH370 di sebuah kompleks beli-belah di Selangor, semalam.
Pencarian awal yang diketuai Australia meliputi 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi hampir tidak menemukan jejak pesawat itu, dengan hanya beberapa serpihan diambil. -AFP
ARTIKEL BERKAITAN
PM Anwar tiba di Melbourne, bakal cipta peluang penting Malaysia-Australia
Anwar lakukan lawatan rasmi 4 hari ke Australia bermula esok