Malaysia bebas virus Nipah, DVS tingkat pemantauan

Foto Fail

PUTRAJAYA, 23 Februari– Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan bahawa Malaysia kekal bebas daripada virus Nipah.

RINGKASAN BERITA AI
  • DVS mengesahkan Malaysia kekal bebas Nipah dan sentiasa memantau status negara.
  • Tahap kewaspadaan ditingkatkan susulan wabak di West Bengal, dengan kawalan import daging babi diperketat.
  • Peternak dinasihatkan tingkatkan biosekuriti dan pantau simptom pada ternakan seperti demam dan masalah pernafasan.

Bagaimanapun, DVS dalam kenyataan menegaskan pihaknya telah meningkatkan tahap kewaspadaan susulan laporan wabak berkenaan yang melibatkan manusia di West Bengal, India.

Di samping itu, DVS turut mengetatkan kawalan import daging babi sebagai langkah pencegahan, dengan hanya membenarkan kemasukan dari negara yang disahkan bebas daripada virus berkenaan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan pencegahan penyakit zoonotik, DVS sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara ini terus terpelihara.”

“Pada tahun 2025, lebih daipada 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, penternak dinasihatkan memperkukuh amalan biosekuriti ladang, termasuk mengawal kehadiran kelawar buah (keluang) yang dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus tersebut.

Pemantauan rapi terhadap ternakan juga perlu dilaksanakan, khususnya bagi mengesan simptom seperti masalah pernafasan, demam dan tanda gangguan saraf termasuk sawan.

“DVS ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa status Malaysia sebagai negara bebas Nipah sentiasa dipantau dan dipelihara melalui langkah-langkah pencegahan dan kesiapsiagaan yang berterusan,” jelas kenyataan itu.