fb fb fb fb fb

Malaysia bangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, cegah kanser

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Kawalan produk tembakau, bahan merokok dan rokok elektronik terhadap orang ramai perlu dipertingkat khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, Malaysia sedang berusaha membangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025.

"Ia adalah kerjasama antara agensi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan dan kawalan kanser paru-paru yang merupakan kanser ke-3 tertinggi di Malaysia dengan 95 peratus daripada kes di diagnosis pada peringkat tiga dan empat," kata Dzulkefly.

Beliau berucap berkata demikian dalam ucapannya pada Perasmian Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024, di Ibu Negara.

Sementara itu Dzulkefly memaklumkan, jumlah pesakit kanser di negara ini meningkat sebanyak 46.5 peratus bagi tempoh 2017-2021 berbanding 2012-2016.

Berdasarkan laporan Globocan 2020 daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dianggarkan sebanyak 19.3 juta kes baharu kanser, 9.9 juta kematian dan 50 juta orang menghidap kanser dalam tempoh lima tahun selepas didiagnosis.

"NCCM 2024 selaras dengan Pelan Strategik Kebangsaan Program Kawalan Kanser 2021-2025 menangani pencegahan dan kawalan kanser daripada sudut pandangan holistik. Dengan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pakar dan pihak berkepentingan, kongres ini sudah pasti akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan strategi kawalan kanser nasional kita," katanya.

NCCM 2024 menawarkan platform khusus untuk perbincangan mengenai isu-isu yang berkaitan antara Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik yang membolehkan tumpuan penuh diberi kepada cabaran dan peluang memerangi kanser khususnya di negara ini.

TETITIA YUSOFF