fb fb fb fb fb

Malaysia, Arab Saudi tumpu keselamatan jemaah haji

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

PORT DICKSON, 22 April - Kerajaan Malaysia serta Kerajaan Arab Saudi akan memberikan tumpuan dan penekanan terhadap aspek keselamataan jemaah haji sepanjang melaksanakan ibadat haji di tanah suci.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perkembangan konflik antara Iran dan Israel masih dalam keadaan terkawal dan pihaknya akan sentiasa memaklumkan kepada jemaah haji mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Setakat ini suasana dan keadaan konflik di Asia Barat ini dalam peringkat masih terkawal dan ia tidak memberi kesan kepada perjalanan umrah dan juga haji. Bagaimanapun pihak kerajaan Malaysia sudah tentu akan melihat secara serius tentang keselamatan kerana ini merupakan, sudah tentu aspek yang paling penting yang perlu kita tekankan dan kita jaga daripada segi keselamatan para jemaah haji kita semasa melaksanakan ibadat haji yang akan bermula penerbangan tidak lama lagi," kata Syed Saleh, di sini.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengambil makanan yang sihat agar terus kekal sihat sepanjang berada di tanah suci.

Syed Saleh berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) Musim Haji 1445H/2024M, di sini.

Dalam perkembangan lain, semua persiapan daripada segi penginapan, pengangkutan dan penerbangan jemaah haji di tanah suci telah diuruskan dengan baik dan petugas telah bersedia untuk menyambut kedatangan jemaah haji.    

Seramai 284 jemaah haji akan berlepas ke tanah suci bagi penerbangan pertama pada 9 Mei depan.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini ialah seramai 31,600 orang jemaah.

TETITIA YUSOFF