RIYADH, 21 Oktober- Malaysia dan Arab Saudi komited menjalin hubungan pelaburan dan perdagangan ke tahap baharu.
Justeru, satu jawatankuasa kerja peringkat menteri akan dibentuk untuk memantau perkembangan pelaburan kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata mesyuarat jawatankuasa kerja tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
"Tadi kita setuju supaya saya bagi pihak Malaysia, diperingkat menteri dan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Alkasabi, kita akan bersama-sama mempengerusikan jawatankuasa kerja ini untuk melihat semua prospek-prospek pelaburan perdagangan di antara dua negara, dua hala.
"Kita akan melihat sektor mana syarikat-syarikat kita pelabur-pelabur kita boleh masuk ke Arab Saudi dan bagaimana Arab Saudi juga boleh masuk ke negara kita", katanya kepada media Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.
Jelas beliau hubungan baik kedua-dua negara membabitkan pelaburan ekonomi khususnya Saudi Aramco ketika ini berjalan lancar dan di landasan yang betul.
"Arab Saudi ini dari segi perdagangan dengan pelaburan masih lagi salah satu negara yang penting bagi Malaysia, saya bagi contoh pelaburan diantara Malaysia dan Arab Saudi perdagangan antara Malaysia dan Saudi, Malaysia ialah rakan dagang kelapan terbesar bagi Arab Saudi. Contohnya Malaysia menjadi antara 10 negara teratas perdagangan dengan Arab Saudi.
"Pada masa yang sama, Arab Saudi ini banyak juga perancangan visi 2030 dimana mereka menjemput banyak syarikat-syarikat untuk bersama syarikat tempatan Arab Saudi untuk melabur di negara Arab Saudi sendiri", katanya.
Menerusi pertukaran memorandum persefahaman yang baru dijalinkan antara Malaysia dan Arab Saudi, ia mampu meningkatkan lagi kerjasama terutama dalam bidang hartanah, penerbangan dan teknologi maklumat, sekali gus melonjakkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.
Laporan oleh Wartawan RTM, Ahmad Ashraf Ab. Rahman di Riyadh, Arab Saudi.