fb fb fb fb fb

Malaysia amalkan dasar luar yang seimbang

Perdana Menteri pada sesi Plenari Pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh

RIYADH, 28 April- Meskipun kecewa dengan pendirian sesetengah negara terutama dalam isu kekejaman di Gaza, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengukuhan ekonomi adalah penting.

Menurut beliau, setiap negara Islam tidak seharusnya terganggu dengan situasi yang berlaku sehingga menjejaskan ekonomi.

Ini meskipun dunia Islam tegas dalam menyatakan sokongan terhadap nasib yang menimpa rakyat di Gaza.

"Isu ini penting dan utama kepada kami, tetapi pada masa sama, kami perlu bertahan. Ekonomi perlu kukuh. Asasnya perlu dibina. Malaysia sangat bertuah kerana berada di rantau yang mungkin paling aman di dunia dan ekonomi yang paling pesat berkembang,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Plenari Pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia dan Rwanda akan menggalakkan lebih banyak perdagangan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam sektor industri halal dan minyak sawit.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Rwanda, Paul Kagame di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia.

Pada pertemuan selama 30 minit itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan ruang kerjasama baharu untuk diteroka.

Ini termasuk pengurusan risiko bencana, perancangan bandar dan digitalisasi, pelancongan, pembangunan kapasiti sumber manusia, industri halal.

Datuk Seri Anwar mengalu-alukan Kagame untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dengan Presiden Rwanda itu turut mempelawa Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi ke negara Afrika itu.

Jumlah perdagangan Malaysia-Rwanda ketika ini adalah sekitar RM25 juta dolar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE