fb fb fb fb fb

Malaysia akan gerakkan ikhtiar bantu penduduk Gaza - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

QATAR, 14 Mei- Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan Israel ke atas Rafah.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga akan menggerakkan ikhtiar bagi membantu penduduk Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

Jelas Anwar, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera, sejak konflik Israel-Hamas tercetus sejak lapan bulan lalu.

Katanya, kekejaman zionis turut menyebabkan kemusnahan kepada negara tersebut.

"Di sela-sela jadual lawatan rasmi yang padat di Qatar, saya mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh seraya diapit oleh mantan pengerusi Khaled Mashal.

"Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

"Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa," kata Anwar.

Tambah Anwar, Malaysia juga mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM