
PUCHONG, 8 Januari – Kerajaan menegaskan keperluan penyelarasan maklumat yang lebih tersusun ketika bencana bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya melibatkan penyampaian maklumat oleh pelbagai agensi.
- Pentingnya penyelarasan maklumat bencana supaya rakyat tidak keliru dan respons lapangan tidak terbantut.
- Maklumat bencana perlu disampaikan melalui satu sumber rasmi sebagai jurucakap utama.
- Input agensi lain mesti dikumpul dan disampaikan secara bersepadu untuk konsistensi.
- Cadangan tubuh Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras komunikasi dan pengurusan risiko.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyebaran maklumat daripada terlalu banyak sumber ketika krisis boleh menjejaskan kefahaman awam serta melambatkan proses tindak balas di peringkat lapangan.
Menurut beliau, penyampaian maklumat bencana perlu diselaraskan melalui satu sumber rasmi yang bertindak sebagai jurucakap utama, manakala input daripada agensi lain hendaklah dikumpulkan dan disampaikan secara bersepadu.
“Dalam krisis, maklumat itu harus datang hanya daripada satu sumber, bukan banyak sumber untuk mengelakkan kekeliruan dan ini mesti dikoordinasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mencadangkan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai badan tertinggi bagi menyelaras pengurusan bencana serta mengurangkan risiko, termasuk aspek komunikasi krisis dan penyampaian maklumat kepada rakyat.