fb fb fb fb fb

Majlis Sukan Negeri Melaka perlu sentiasa komited, proaktif dalam pembangunan sukan

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 19 November- Majlis Sukan Negeri Melaka serta persatuan-persatuan sukan di Melaka perlu sentiasa komited dan proaktif dalam pembangunan sukan di negeri itu.

Industri sukan memainkan peranan untuk membantu Melaka menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dari segi sosio ekonomi setanding negara maju lain.

Ke arah itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mahu pelbagai kejohanan dan aktiviti sukan terus diadakan di negeri itu khususnya pada Tahun Melawat Melaka 2024.

“Saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada Majlis Sukan Negeri Melaka selaku tonggak utama dalam industri sukan di Melaka hendaklah sentiasa komited dan mengorak langkah yang proaktif khususnya perihal pembangunan sukan di Melaka dengan lebih terancang agar para atlet dan pasukan mendapat latihan dan kemudahan dan lebih berkeyakinan setanding kuasa besar sukan yang lain”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka kali ke-38 tahun 2021/2022 di Ayer Keroh.

Pada majlis itu turut disampaikan Hadiah Insentif Kemenangan berjumlah RM23,000 kepada Atlet Badminton, Aaron Chia atas kemenangan pingat Gangsa di Kejohanan Badminton Dunia Copenhagen, Denmark dan Temasya Sukan Asia Hangzhou, China.

Turut menerima insentif, Atlet Wushu, Tan Cheong Min berjumlah RM25,000 selepas berjaya memenangi Pingat Perak di Temasya Sukan Asia Hangzhou, China.

Atlet Memanah, Mohd Juwaidi Mazuki pula menerima hadiah insentif RM15,000 atas kemenangan pingat Gangsa di temasya sama.

ROSLINA BINTI DIN