KUANTAN, 30 Januari- Majlis sambutan memuliakan Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berakhir di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Lokasi tersebut diadakan bagi acara majlis santapan diraja.
Sebelum tiba ke dewan berkenaan, baginda berdua disambut hampir 2,000 orang bermula dari persimpangan Jalan Dato Abu Samah sehingga ke perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Bagi permulaan Majlis Santapan Diraja, baginda berdua disambut dengan Persembahan tetuang dan paluan Gong serta Gendang, dan disusuli petunjukkan seni silat daripada Akademi Silat Al-Jufferi.
Sebelum majlis santapan bermula, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada bagidan berdua, yang turut diserikan persembahan lagu tradisonal serta tarian kebudayaan Pahang.
Sebelum itu ketibaan baginda berdua ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, 16 orang pemain Polo Kelab Diraja Pekan menunggang 16 ekor kuda bagi mengiringi kenderaan khas baginda berdua bermula di hadapan Kompleks Teruntum sehingga ke Pejabat Pos Besar Kuantan.
Ketibaan kenderaan baginda berdua di lokasi itu disambut dengan penuh meriah oleh rakyat daripada pelbagai bangsa yang memenuhi laluan sepanjang satu kilometer bagi menyambut baginda berdua.
Kenderaan khas yang dinaiki baginda berdua kemudiannya diiringi oleh dua ekor gajah iaitu Alam dan Sanum yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, bermula dari persimpangan Jalan Datuk Abu Samah sehingga ke Dewan Jubli Perak Sultan haji Ahmad Shah.
Baginda berdua tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 11.58 pagi tadi dengan menaiki pesawat khas.
Ketibaan baginda berdua disambut oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sebelum menuju ke pentas diRaja bagi acara Istiadat Keberangkatan Balik Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Pahang.
Istiadat itu dimulakan dengan upacara Hormat Diraja dan tembakan meriam kehormatan sebanyak 21 das oleh Pasukan Rejimen ke-7 Artileri Diraja, Angkatan Tentera Darat.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan melakukan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan utama.