KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 bakal diadakan pada 18 Oktober ini di Lot F, KL Sentral, dan dibuka kepada semua rakyat Malaysia.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu bertujuan meraikan perayaan Deepavali dalam suasana penuh muhibah, mencerminkan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Majlis ini merupakan satu peluang untuk kita berkumpul sebagai satu keluarga besar Malaysia MADANI, menyambut Deepavali dengan penuh kegembiraan dan harmoni. Saya menjemput semua lapisan masyarakat untuk hadir bersama-sama memeriahkan acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Forum Menteri bertajuk Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan, bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin Masa Depan Muda Antarabangsa (iFuture) 2025, di sini hari ini.
Menurut Gobind, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijangka memeriahkan sambutan tersebut, sekali gus memperlihat komitmen kepimpinan tertinggi negara dalam memupuk perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya.
Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI itu dianjurkan sebagai simbol keterangkuman masyarakat majmuk negara dan menzahirkan semangat Malaysia MADANI dalam menyambut perayaan utama pelbagai kaum.
Perayaan Deepavali tahun ini akan diraikan pada 20 Oktober.