Majlis Khatam Al-Quran perkukuh ukhuwah, penghayatan Islam

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor/Foto RTM

SEPANG, 7 Mac – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis menghimpunkan 1,000 wanita Selangor menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran secara berjemaah.
  • Program termasuk bacaan bersama, tazkirah "Ramadan dan Al-Quran: Madrasah Pembinaan Jiwa" serta khatam dan persembahan marhaban.
  • Penganjuran mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkasa wanita secara holistik melalui kerohanian, memperkukuh ukhuwah dan penghayatan nilai Islam.

Keberangkatan tiba baginda disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad serta Timbalan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, Sepang, berjaya menghimpunkan 1,000 wanita dari seluruh Selangor.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga serta Wanita Berdaya Selangor dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menyaksikan para peserta menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran secara berjemaah.

Program dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara berjemaah sebelum diteruskan dengan tazkirah bertajuk “Ramadan dan Al-Quran: Madrasah Pembinaan Jiwa” yang disampaikan Ustazah Nazirah Abu Bakar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Majlis kemudian diteruskan dengan khatam Al-Quran yang dipimpin Ustazah Nor Ruzana Natilah Jaafar serta persembahan marhaban.

Penganjuran program mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa golongan wanita secara holistik melalui pendekatan kerohanian, sekali gus memperkukuh ukhuwah serta penghayatan nilai Islam.