Majikan diseru laksana kerja fleksibel hadapi krisis tenaga – KESUMA

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 MAC – Sektor swasta digalakkan melaksanakan aturan kerja fleksibel sebagai langkah strategik mendepani krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKF membolehkan organisasi menyesuaikan operasi secara cekap tanpa menjejaskan produktiviti sambil menyokong kesejahteraan pekerja.
  • Majikan digalakkan menilai kaedah AKF sesuai operasi termasuk bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran atau model hibrid.
  • Pindaan Akta Kerja 1955 Seksyen 60P dan 60Q membenarkan permohonan pengaturan kerja fleksibel oleh pekerja.
  • Majikan tidak boleh mengurangkan faedah sedia ada; JTKSM dan TalentCorp sediakan nasihat, latihan dan perkongsian amalan terbaik.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) atau Flexible Work Arrangements (FWA) mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi secara lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti.

Jelas kenyataan itu lagi, peningkatan kos tenaga susulan konflik di rantau Asia Barat serta kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja menjadikan pendekatan kerja fleksibel sebagai satu keperluan semasa.

“Pelaksanaan AKF bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan sumber, malah menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, majikan digalakkan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid.

Langkah berkenaan turut selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Di bawah Seksyen 60P dan 60Q akta berkenaan, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja.

Bagi menjamin kebajikan pekerja KESUMA memaklumkan majikan yang melaksanakan AKF tidak dibenarkan mengurangkan faedah sedia ada pekerja seperti bayaran kerja lebih masa, cuti tahunan, cuti sakit dan kelepasan am.

Bagi menyokong pelaksanaannya, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan termasuk khidmat nasihat, latihan serta perkongsian amalan terbaik.

“Majikan sektor swasta diseru mengambil langkah proaktif mengadaptasi AKF secara berperingkat bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu lagi.

KESUMA turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan bergerak seiring dalam menghadapi cabaran global.