fb fb fb fb fb

MAIWP salur RM1,000 kepada 12 keluarga mangsa tanah runtuh di Setapak

Menteri Hal Ehwal Agama meninjau tapak tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Setapak hari ini/Foto FB Mohd Nizam Yahya

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada 12 keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 22 Ogos lalu di Taman Bunga Raya, Setapak.

Bantuan diberikan sebagai tanda keprihatinan dan atas dasar kemanusiaan oleh MAIWP meskipun mereka bukan tergolong dalam kategori asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata bahawa bantuan itu merupakan langkah awal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

"Walaupun mereka tidak termasuk dalam kategori asnaf, MAIWP mengambil inisiatif atas dasar kemanusiaan untuk menyalurkan sumbangan ini, dengan bantuan lanjut akan dilihat dan disemak berdasarkan keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan sumbangan itu di Dewan Serbaguna Taman Bunga Raya yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara. 

3108 MAIWP MANGSA
Menteri Agama Datuk Seri Dr. Na'im menyerahkan sumbangan kepada 12 keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 22 Ogos lalu/Foto Facebook Mohd Nizam Yahya

Kejadian tanah runtuh tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat tanpa henti, yang mengakibatkan pergerakan tanah dan menyebabkan kerosakan kepada 14 buah rumah.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengarahkan kesemua rumah yang terjejas dikosongkan bagi mengelakkan sebarang insiden susulan.

Bagaimanapun, dua daripada rumah yang terlibat didapati tidak berpenghuni.

Turut hadir dalam majlis penyerahan bantuan tersebut ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tuan Zahir Hassan, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

GRACE AISYAH KEDAYAN