fb fb fb fb fb

MAIWP peruntuk RM88.3 juta wang zakat bantu asnaf di Labuan

Foto hiasan

LABUAN, 3 Januari- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited dalam memastikan tiada asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan daripada segi kebajikan mahupun kewangan.

Pada tahun ini, sebanyak RM88.3 juta wang zakat telah diperuntukkan di Labuan khas untuk agihan bantuan berbanding RM65 juta pada tahun lepas.
 
Agihan dibuat menerusi skim-skim bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP merangkumi bantuan secara langsung dan tidak langsung.

MAIWP Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak RM41 juta diperuntukkan untuk agihan menerusi skim bantuan kewangan bulanan termasuk program inisiatif 'Zero Hunger' yang sentiasa menunjukkan peningkatan bilangan penerima dari semasa ke semasa.
 
Sementara bagi Bantuan Aidilfitri sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada lebih 4,000 penerima yang layak berbanding RM4.5 juta pada tahun lepas.
 
Selain itu, agihan menerusi kluster pendidikan mendapat perhatian MAIWP yang mana lebih RM7.8 juta diberikan menerusi bantuan pendidikan, peningkatan ketara berbanding RM4.4 juta pada 2023.
 
Menerusi kluster perubatan, lebih RM1.3 juta diperuntukkan melibatkan bantuan perubatan am, bantuan peralatan kesihatan dan bantuan khas kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
 
Dalam memperkasa pendapatan asnaf agar tidak bergantung dengan bantuan zakat semata-mata, pelbagai program dan aktiviti pembangunan asnaf dirangka dengan melibatkan peruntukan lebih RM8.5 juta seperti program keusahawanan, latihan industri dan program agropreneur.
 
Dengan bantuan yang disalurkan diharap golongan asnaf dapat mengubah nasib hidup seterusnya dapat menjadi pembayar zakat dan menyumbang kepada golongan lain yang memerlukan.

ROSLINA BINTI DIN