
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan hampir RM2 juta bagi membantu ribuan mahasiswa pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.
- Program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2026 menyediakan tiket perjalanan dan wang saku kepada pelajar IPT.
- Bantuan termasuk tiket pergi balik, tiket penerbangan untuk pelajar Sabah dan Sarawak, serta makanan untuk memudahkan perjalanan.
- Lebih 6,000 mahasiswa dari lapan institut pengajian tinggi menerima manfaat, membantu perantau pulang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata bantuan menerusi program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2026 itu melibatkan sumbangan tiket perjalanan serta wang saku kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan usaha bagi meringankan beban mahasiswa, khususnya mereka yang menuntut di ibu negara dan ingin pulang beraya bersama keluarga.
“MAIWP telah memberikan sumbangan kepada lapan universiti di Wilayah Persekutuan. Kita menyediakan bantuan tiket perjalanan pergi dan balik untuk pulang ke kampung halaman.
“Bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak pula, mereka turut menerima tiket penerbangan. Selain itu, mereka juga diberikan sedikit wang saku serta makanan untuk memudahkan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2026 di Universiti Malaya, hari ini.
Tambahnya, lebih 6,000 mahasiswa dari lapan institusi pengajian tinggi menerima manfaat daripada bantuan tersebut.
Antara institusi terlibat ialah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Profesional MAIWP, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kolej Islam Antarabangsa serta Universiti Malaya.
Inisiatif itu diharap dapat memberi kelegaan kepada mahasiswa perantau untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan ketika musim perayaan.