fb fb fb fb fb

MAIWP Labuan perkenal skim biasiswa baharu

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2023 MAIWP Labuan hari ini

LABUAN, 7 September- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperkenalkan Skim Bantuan Biasiswa Sekolah MAIWP yang baharu untuk pelajar tingkatan satu bagi tahun 2024.

Skim itu terbuka kepada pelajar yang tamat darjah enam sesi 2023 dengan keputusan cemerlang. Permohonan biasiswa itu dibuka sehingga 15 September.

Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad memaklumkan biasiswa bernilai antara RM1,500 hingga RM2,500.

"Pelajar-pelajar yang menerima biasiswa ini perlu menghantar laporan pendidikan atau keputusan peperiksaan setiap tahun. Jika prestasi konsisten dan cemerlang, biasiswa mereka untuk tingkatan dua akan diteruskan sehingga tingkatan lima," katanya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2023 MAIWP Labuan.

Seramai 54 pelajar cemerlang termasuk anak asnaf yang menerima bantuan zakat pendidikan diraikan pada majlis tersebut.

Anugerah disampaikan mengikut kategori peperiksaan seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan Ijazah.

Setiap penerima menerima wang tunai dan sijil penghargaan dengan jumlah keseluruhan RM13,900.

Dalam pada itu Insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime turut diberikan kepada 38 pelajar cemerlang SPM dan STPM dengan jumlah keseluruhan RM27,000.

Sumbangan berkenaan disambut baik oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Abidin Marjan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada MAIWP kerana dapat menyantuni, menghargai sebagai satu dorongan inspirasi kepada pelajar kita untuk berusaha demi masa depan dan maju lagi ke depan dalam meniti kehidupan mereka," katanya

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pembayar zakat atas sumbangan yang membolehkan zakat diagihkan kepada penerima.

SITI AISHAH MD ISA