LABUAN, 23 Mac - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan RM1.6 juta, bagi perlaksanaan inisiatif agihan bantuan makanan berbungkus di wilayah itu.
Sumbangan bernilai RM50,000 turut diberikan kepada Surau Fath Al-Bari Pusat Koreksional Labuan bagi pelaksanaan program pendidikan dan kerohanian prospek.
Cek sumbangan disampaikan MAIWP Labuan dalam satu majlis iftar yang diadakan, semalam dan seramai 720 asnaf dan keluarga diraikan pada majlis itu.
Asnaf terlibat terdiri daripada penerima bantuan Bulanan Sara Hidup MAIWP, ibu tunggal, warga emas serta asnaf yang mempunyai tanggungan ramai.
Seramai 240 ketua keluarga menerima sumbangan bakul makanan dengan jumlah kos keseluruhan RM36,000. Manakala 100 anak asnaf juga turut menerima sumbangan duit raya RM50 seorang daripada MAIWP Labuan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Md. Fadzli Md. Saad dan wakil pembayar zakat Dato Seri Mohd Alias Abdul Rahman.
Majlis berlangsung di Desa Tunas Hijau Kampung Sungai Miri yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.