fb fb fb fb fb

MAIS, JAIS teruskan program pemulihan ahli GISBH

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

SHAH ALAM, 8 Februari- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan program pemulihan terhadap ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) Sdn Bhd menerusi Program Insan Rabbani bermula 15 Februari ini.

Sehingga kini, seramai 731 ahli GISBH bersetuju mengikuti program tersebut dan didaftarkan sebagai Asnaf Riqab.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, program itu dilaksanakan susulan program Rehabilitasi ahli GISBH dari program Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dilaksanakan 7 November tahun lalu telah berakhir pada 4 Februari lalu.

"Saya akan mengendalikan dan memantau perkembangan mereka sehingga tahun yang kedua. Kami kerajaan negeri, agensi kerajaan negeri, MAIS, JAIS dan sebagainya untuk memastikan mereka ini tidak pulang kepada asal seperti dulu.

"Cuma harapan kita apabila mereka tamat program pemulihan ini penerimaan masyarakat mestilah positif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan barangan persekolahan kepada anak-anak GISBH di sini hari ini.

Dua modul akan digunakan semasa proses pemulihan iaitu Modul Istitabah bagi peringkat umur dewasa dan Modul Pendidikan Islam Insani kepada kanak-kanak.

Bagi Modul Istitabah, proses pemulihan akan mengambil masa dua tahun melibatkan empat fasa iaitu Fasa Pemulihan (enam bulan), Fasa Pemantapan dan Pengukuhan (enam bulan), Fasa Pasca Pemulihan serta Fasa Pemantauan dan khidmat sokongan.

Manakala lokasi program pemulihan akan dilaksanakan di dalam pusat pemulihan iaitu Pusat Perlindungan Terpilih atau di luar pusat seperti masjid, sekolah atau lokasi sesuai.

Sementara itu seramai 200 anak-anak GISBH yang telah diserahkan kepada ibu bapa dan penjaga menerima bantuan barangan persekolahan pada hari ini.

Menurut Exco Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah, mereka turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM400 sumbangan MAIS dan JAIS.

Mohammad Fahmi turut memaklumkan perkembangan kanak-kanak tersebut menunjukkan perubahan positif terutama tingkah laku dan peningkatan ketara dalam pemahaman Islam sebenar.

"Dari segi akidah telah disemak oleh JAIS dan MAIS mereka menunjukkan perkembangan sangat baik, alhamdulillah. Kalau tengok tadi anak-anak ini sudah mula senyum boleh bercampur dengan orang. 

"Saya rasa perkembangan itu menunjukkan antara tanda-tanda baik supaya anak-anak ini boleh dilepaskan. Saya yakin boleh mereka ini boleh diintegrasikan semula dalam masyarakat," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI