fb fb fb fb fb

MAINS agih dana zakat RM125.68 juta kepada asnaf

Pengerusi MAINS, Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (lima dari kanan) bergambar bersama wakil syarikat pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat-Syarikat Korporat 2023 di Menara MAINS, Seremban hari ini.

SEREMBAN, 21 Disember- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM125.68 juta sejak Januari hingga Oktober lalu.

Agihan itu meliputi bantuan fakir miskin dan asnaf, bantuan hemodialisis, pendidikan, kewangan serta bantuan perubatan. 

Menurut Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir, pihaknya melahirkan rasa gembira dengan komitmen yang diberikan oleh pembayar – pembayar zakat yang konsisten menunaikan tanggungjawab mereka setiap tahun.

"Di dalam rukun Islam membayar zakat diletakkan sebagai salah satu kriteria yang bercirikan seseorang individu itu sebagai muslim yang mengamalkan seruan agama zakat merupakan kewajipan yang dikeluarkan pada harta orang yang memeiliki kelebihan dan dapat menyucikan harta," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat – Syarikat Korporat 2023 di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak tujuh buah syarikat telah menyerahkan zakat perniagaan kepada MAINS dengan jumlah keseluruhan RM1.041 juta hari ini.

Tujuh buat syarikat tersebut adalah Telekom Malaysia Bhd., Dermaga Sari Holdings Sdn. Bhd., Agro Bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MBSB Bank Bhd., Omni Oil Technologies dan Koperasi Permodalan dan Perusahaan Melayu Negeri Sembilan Bhd. dengan jumlah RM44,122.66.

Lafaz akad telah disempurnakan Dr. Abdul Aziz dengan disaksikan sama Setiausaha MAINS, Zainal Said.

Pada majlis berkenaan juga, turut diadakan penyerahan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO/IEC 27001:2022 dan Persijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001: 2015.

“MAINS merupakan agensi ke tiga yang mendapat standard terbaru Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO/ IEC 27001:2022 di bawah Cyber Security Malaysia.

“Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ini merangkumi proses pengurusan perkhidmatan kutipan dan agihan zakat harta melalui sistem e-Zakat.Net, sistem potongan gaji, sistem pengurusan maklumat bersepadu bagi sistem agihan zakat dan sistem e-Had Kifayah,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI