MAINPP sumbang RM700 kepada 235 pesakit hemodialisis sempena Aidilfitri

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (dua dari kiri) menyantuni pesakit anjuran Persatuan Kebajikan Aqidah Muslim pada Jumaat

BAYAN LEPAS, 14 Mac – Seramai 235 penerima rawatan di Pusat Hemodialisis Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerima sumbangan Aidilfitri RM700 setiap seorang, membabitkan peruntukan keseluruhan RM164,500.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan disalurkan untuk meringankan beban pesakit dialisis menjelang Aidilfitri, kata Timbalan Ketua Menteri.
  • Bantuan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Zakat MAINPP dan diserahkan kepada pesakit di bawah jagaan Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP.
  • Penerima meluahkan rasa syukur, berkata bantuan memberi kelegaan, membantu persiapan Aidilfitri dan sokongan kewangan bermakna.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata sumbangan itu disalurkan bagi membantu meringankan beban pesakit dialisis menjelang sambutan Aidilfitri.

“Sumbangan wang sagu hati Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM700 seorang ini diserahkan kepada pesakit di bawah jagaan Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP dan ia diluluskan oleh Lembaga Pengarah Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Serahan Saguhati Aidilfitri kepada pesakit dialisis di Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP di Kepala Batas, hari ini.

Sementara itu, beberapa penerima meluahkan rasa syukur dan teruja atas bantuan yang diterima kerana dapat membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Rokiah Musa berkata bantuan itu amat dihargai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak zakat yang sentiasa membantu golongan memerlukan.

Seorang lagi penerima, Rohani Hassan berkata sumbangan berkenaan memberi kelegaan kepadanya untuk membeli keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.

Osman Said pula menyifatkan bantuan tersebut sebagai amat bermakna kepada pesakit dialisis yang memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Muhamad Hanafiah Saad turut merakamkan penghargaan kepada pihak Zakat MAINPP kerana bantuan itu membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna bersama keluarga.