fb fb fb fb fb

Main mercun, JPN Kedah ingatkan ibu bapa pantau anak-anak

Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman / Foto RTM

ALOR SETAR, 20 Mac-Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengingatkan semua pihak khususnya ibu bapa atau penjaga supaya memantau dan mencegah anak masing-masing daripada bermain mercun terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
 
Ini bagi mengelakkan sebarang risiko dan kejadian tidak diingini yang boleh mendatangkan kemudaratan termasuk kecederaan atau kehilangan nyawa.
 
Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman berkata, pihaknya turut kesal dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa murid tahun 1 Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Nerang, dan adiknya yang berusia empat tahun yang cedera parah selepas terkena letupan mercun.
 
Beliau berkata, JPN melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap dan pihak sekolah telah mengambil langkah segera dengan menghubungi bapa dua beradik lelaki berkenaan bagi mengetahui keadaan mangsa.
 
Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
 
Ismail berkata demikian ketika dihubungi RTM di sini.
 
Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa dan adiknya keluar bermain mercun di halaman rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Nerang tanpa disedari oleh ibu dan bapa pada pukul 8.15 malam.
 
Kejadian hanya disedari oleh ibu mangsa apabila terdengar letupan di luar rumah dan mendapati mangsa dan adiknya cedera pada bahagian muka dan tangan.
 
Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang sebelum dihantar ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.
 
Semalam, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Supritendan Abdull Razak Osman memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.
 
Kes turut disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau bahaya fizikal.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD