fb fb fb fb fb

MAIK tubuh sekolah tahfiz dalam penjara pertama di Kelantan

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra

MACHANG, 16 Mei - Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan, Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), di sini menjadi sekolah tahfiz al-Quran dalam penjara yang pertama di Kelantan.

Projek rintis itu merupakan kerjasama diantara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra bertitah seluruh komuniti terutama ketua masyarakat perlu mengambil perhatian serius dalam membantu melahirkan prospek yang menghafal al-Quran dan mendokong penglibatan golongan itu dalam masyarakat.
 
"Dakwah MAIK bukan sahaja membabitkan masyarakat tetapi mereka yang tersalah langkah dan memerlukan perhatian bagi membolehkan prospek kembali ke pangkal jalan," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di PPA Machang, di sini.
 
Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad berkata penubuhan kelas tahfiz di institusi penjara merupakan inisiatif berterusan jabatan itu ke arah pembinaan modal insan berteraskan al-Quran dan Pendidikan Islam.

Dibina di sebuah blok bangunan PPA Machang melalui peruntukan MAIK berjumlah RM122,234, sekolah tahfiz penjara yang ketiga dalam negara itu mula beroperasi 13 November tahun lepas melibatkan 30 prospek.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN