SEPANG, 14 November - Malaysia Airports Holding Berhad ( MAHB) memulakan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) dalam tempoh Defect Liability Period (DLP) bagi memulihkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), bermula 15 November ini.
Pelan yang dipersetujui Kementerian Pengangkutan (MOT) dan diakui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu merangkumi pemeriksaan menyeluruh, ujian serta kerja pembaikan setiap hari dari pukul 9.00 malam hingga 7.00 pagi.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata langkah itu penting untuk memulihkan keyakinan awam terhadap Aerotrain KLIA.
"Keutamaan kami adalah memastikan Aerotrain mencapai tahap kebolehpercayaan dan keselamatan setaraf pintu masuk antarabangsa. Pelan ini memberi pendekatan sistematik untuk menangani punca gangguan lalu, sekali gus menegaskan komitmen kami terhadap keselamatan dan kualiti perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) Aerotrain di sini.
Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan bas akan disediakan bagi memastikan pergerakan antara terminal utama dan bangunan satelit berjalan lancar, sementara lebih banyak operasi penerbangan akan ditempatkan di terminal utama demi keselesaan penumpang.
MAHB memaklumkan pelan itu dibangunkan bersama kontraktor dan perunding lantikan, melibatkan tiga peringkat berstruktur bagi mengukuhkan prestasi dan daya tahan sistem.
Ia merangkumi pembetulan kelemahan sistem, ujian operasi simulasi serta penambahbaikan teknikal, sebelum memasuki fasa akhir iaitu operasi percubaan yang dipantau untuk memastikan kesediaan sepenuhnya sebelum perkhidmatan disambung.
Satu penilaian bebas turut akan dijalankan bagi audit teknikal dan operasi, manakala Agensi Pengankutan Awam Darat (APAD) akan melakukan pemeriksaan keselamatan rasmi setelah pelan selesai.
Sejak kembali beroperasi pada 1 Julai 2025, Aerotrain KLIA telah membawa kira-kira tujuh juta penumpang dan merekodkan lebih 53 ribu perjalanan ulang-alik, dengan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) pada kadar
98.41 peratus.