fb fb fb fb fb

MAHA 2024 catat nilai jualan langsung lebih RM41 juta

Foto BERNAMA

SERDANG, 22 September - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang bakal melabuhkan tirai hari ini selepas 12 hari penganjuran mencatatkan nilai jualan langsung lebih RM41 juta setakat pagi tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) turut menyaksikan 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya ditandatangani.

“Selain itu, Agrobank juga merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup MAHA 2024.

Beliau berkata MAHA ke-100 tahun yang bermula sejak 11 September itu juga mencatatkan kehadiran lima juta pengunjung setakat 12 tengah hari tadi sekali gus melebihi sasaran awal seperti ditetapkan iaitu tiga juta.

Keunikan penganjuran MAHA kali ini adalah pengenalan MAHA Go Global yang merupakan inisiatif untuk mengembangkan dan mempromosikan produk pertanian Malaysia ke pasaran global dan sebaliknya.

“Sebanyak lebih daripada 9,500 trade visitors dan 150 pempamer dari seluruh dunia direkodkan dalam penganjuran MAHA kali ini,” katanya.- BERNAMA

Trainee2