SERDANG, 9 September - Pempamer dari 16 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia akan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bermula 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara negara lain yang turut menyertai pameran dwitahunan bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ itu ialah Thailand, Brunei, Indonesia dan Hong Kong.
“Pempamer-pempamer luar ini akan bawa dan tunjukkan pelbagai barangan dan peralatan yang bersangkut paut dengan aspek pertanian termasuk melibatkan teknologi terkini seperti AI (Kecerdasan Buatan) dan Internet benda.
“Kita juga berazam untuk pastikan MAHA ini menjadi satu daya tarikan bagi meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam bidang pertanian dengan mengetengahkannya sebagai satu perusahaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan penganjuran MAHA 2024.
Menurut Mohamad, persiapan penganjuran MAHA 2024 berjalan dengan baik dengan 90 peratus lokasi sudah bersedia menerima 3 juta pengunjung seperti yang disasarkan.
Kementeriannya juga akan memastikan operasi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa dilanjutkan bagi memudahkan kedatangan pengunjung memandangkan pameran itu dibuka hingga pukul 10 malam.