fb fb fb fb fb

MAG tempah 30 pesawat baharu, perkukuh industri penerbangan negara

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini mengumumkan tempahan 30 pesawat baharu daripada The Boeing Company sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan armada penerbangannya.

Perolehan, merangkumi 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10, yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut beliau, pelaburan dalam pesawat baharu itu bukan sekadar langkah memperbaharui armada penerbangan negara, tetapi juga strategi penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.

"Langkah ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global serta memperkuat asas ekonomi negara dalam dunia yang semakin kompetitif.

"Sektor penerbangan sentiasa menjadi pemangkin kemajuan ekonomi, membuka peluang kepada perdagangan, pelancongan, serta peluang baharu lain.

"Selama beberapa dekad, syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines, bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi juga ikon kebangsaan yang membawa bendera dan semangat negara ke seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pemerolehan pesawat tersebut.

Menerusi penambahan itu, MAG secara berperingkat akan menggantikan pesawat Boeing 737-800 generasi lama yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE