MADANI Mart tangani cabaran kos sara hidup rakyat lebih bersasar

Perdana Menteri merasmikan pembukaan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di Malaysia/Foto RTM

KUANTAN, 3 April – MADANI Mart, berkonsepkan kedai komuniti berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah”, merupakan pendekatan signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh serta bersasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran membuka sekurang-kurangnya 640 cawangan, dengan matlamat setiap Dewan Undangan Negeri mempunyai satu cawangan.
  • Cawangan pertama di Indera Mahkota 8 dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Perdana Menteri menjadi pelanggan pertama dan menandatangani plak perasmian semasa pelancaran.
  • Inisiatif tidak melibatkan modal kerajaan dan digerakkan melalui kerjasama KPDN, pemegang lesen swasta dan Yayasan MADANI.

Inisiatif yang diterajui Yayasan MADANI itu menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 outlet di seluruh negara, bermatlamat memastikan setiap Dewan Undangan Negeri, (DUN) mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.

Pembukaan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8, di sini telah dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan merupakan pelanggan pertama turut menandatangani plak perasmian dan menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Perasmian MADANI Mart.

Beliau diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Sementara itu, Datuk Dr Fuziah memaklumkan, inisiatif itu tidak melibatkan pengeluaran modal kerajaan.

Sebaliknya digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN), operator atau pemegang lesen, (swasta) juga Yayasan MADANI (sosial).