(FOTO HIASAN/ BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 18 Julai- Semua umat Islam dan rakyat di negara ini secara amnya perlu menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai momentum menghidupkan semangat perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan tahun baharu kalendar Islam itu juga perlu dijadikan sebagai medan membangunkan komuniti harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan bekerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.
Ahmad Zahid turut menyeru umat Islam untuk bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam bagi meletakkan diri sebagai insan muttaqin.
“Ambillah ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara ‘baldatun toyyibah warabbun ghafur’," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Fadillah Yusof juga mengajak umat Islam di negara ini menggunakan kesempatan menyambut Maal Hijrah untuk bermuhasabah diri, tajdid (memperbaharui) niat serta menguatkan azam dan semangat untuk sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik berbanding hari-hari sebelumnya.
Ujar Timbalan Perdana Menteri itu, sambutan Awal Muharram menjadi detik yang sangat penting khususnya buat umat Islam terus memaknai kehidupan dan amal ibadah.
(FOTO FB Fadillah Yusof)
“Bersempena dengan Maal Hijrah ini, umat Islam digalakkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun. Bersama-samalah kita mengambil sedikit waktu untuk bermuhasabah, menilai semula niat dan tujuan hidup kita serta terus memperbaiki amalan dan usaha kita di dunia untuk kebaikan di akhirat kelak.
“Selamat Tahun Baharu Hijrah dan Salam Maal Hijrah 1445H. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita, menerima amal ibadah kita dan moga tahun-tahun yang mendatang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya untuk kita semua," katanya.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2023/1445 bakal berlangsung esok di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat ke majlis itu.
Seramai 6,000 tetamu dijangka hadir pada sambutan yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI'.